Rabu, 11 Januari 2017

Lampiran






Rujukan

Ø  Mohd Aazem Bin Mazlam. (2010, Ogos 23). Bahasa Rojak [Blog post]. Retrieved from http://cpotbudu28.blogspot.com
Ø  M Jasni Majed (n.d.). Menangani Isu Bahasa Rojak. Retrieved from http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menanganiisubahasarojak/Article/article_print
Ø  Muhamad Suhaimi Razali (2013, April 01). Bahasa rojak boleh bunuh bahasa Melayu. Retrieved from http://www2.hmetro.com.my/articles/BahasarojakbolehbunuhbahasaMelayu/Article
Ø  The Encyclopedia of Malaysia: Languages & Literature oleh Prof. Dato' Dr Asmah Haji Omar (2004) ISBN 981-3018-52-6.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, cara-cara yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan Bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian, kerana Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita.  Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia.  Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan dan dinafikan lagi.  Bahasa Malaysia memberikan faedah yang besar dalam menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan teknologi Malaysia.  Kita haruslah mempertahankan dan mendaulatkan bahasa kita.  Jika tidak, generasi masa depan kita akan ketinggalan dan negara kita akan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa barat yang menggunakan bahasa asing.  Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan generasi muda sudah menjadi gaya hidup “wajib” bagi mereka untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa.  Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa melayu baku dianggap sebagai skema dan ketinggalan zaman.  Justeru, bagi menghalang Bahasa Malaysia daripada terus dipengaruhi unsur luar secara melulu, para pemimpin dan pendidik perlulah terus memupuk generasi muda dengan memberi bimbingan dan teladan kepada mereka agar sikap menghargai bahasa rasmi negara ini dapat berterusan.  Istilah “jangan lupa diri”, sering didengar di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia.  Istilah ini merupakan satu frasa yang menyatakan bahawa sesorang itu harus ingat akan asal-usul diri mereka dan nenek moyang mereka, sekalipun ia bersifat perkauman.  Bak kata pepatah, “yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”.

Cabaran Bahasa Malaysia Dalam Era Globalisasi

Pada tahun 2020, Malaysia dijangka menjadi sebuah Negara yang maju, meninggalkan tarafnya sebagai Negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada perkembangan fizikan dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu adalah proses yang paling sesuai yang dipanggil osmosis, merujuk nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disebut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi mencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka.

Seperti yang telah disaksikan belakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Antaranya ialah hidup dengan computer dan internet. Kini, berita dikirim melalui email dan sms . Dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan baru yang sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Bahasa Melayu dituturkan separuh melayu separuh inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturannya adalah lebih kurang 70% dalam Bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam Bahasa Melayu, dalam keadaan lintang pukang. Dan secara ketara, pendidikan Negara mula disalut dengan perantaraan media baru, iaitu Bahasa Inggeris.

Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat. Dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa melayu. Cuma kali ini ditambah sedikit kaitannya dengan scenario global. Sebenarnya memperkatakan tentang Bahasa Melayu seolah olah kita memperkatakan satu-satunya aspek atas orang melayu itu sendiri. Survival melayu di peringkat yang maju dan beridentiti juga mencerminkan bangsa melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya, Cuma bangsa Malaysia adalah igauan yang hendak dicapai.

Cara-Cara Memartabatkan Bahasa Malaysia

Menurut Kamus Pelajar, melestarikan bermakna membiarkan atau memelihara sesuatu supaya kekal seperti sediakala. Sejak kebelakangan ini, ramai orang malu untuk menggunakan bahasa ibunda kami iaitu Bahasa Melayu. Ini menjejaskan imej negara kita kerana Bahasa Melayu adalah bahasa nasional kita. Mengapakah hal ini berlaku? Apakah cara-cara yang kita boleh lakukan untuk melestarikan bahasa ibunda kita?

Kita boleh mulakan dengan sumbangan individu. Seorang individu yang Berbahasa Melayu boleh berkomunikasi dalam bBhasa Melayu di rumah ataupun di sekolah. Kita juga harus menunjuk minat kita terhadap Bahasa Melayu dan sering melibatkan diri kita dalam aktiviti bahasa di rumah. Sebagai seorang pelajar, kita harus menanam minat untuk mempelajari bahasa Melayu, jika tidak kita akan menghadapi kesusahan dalam pertuturan bahasa Melayu apabila kita telah menjejaki usia seorang dewasa. Untuk menanam minat ini, kita boleh menganjurkan permainan bahasa dengan keluarga saling saudara-mara.

Kedua, kita boleh melibatkan diri dalam komuniti kita seperti di sekolah atau badan-badan lain yang relevan. Contohnya di sekolah, kita boleh menimbulkan kesedaran tentang keistimewaan Bahasa Melayu dan bagaimana ia melambangkan jati diri Bahasa Melayu di dalam kelas. Kita boleh menjalani program sekolah seperti bengkel-bengkel yang mempromosikan Bahasa Melayu. Seorang pelajar itu juga boleh menjalankan pelajaran Bahasa Melayu lebih menarik untuk menanamkan minat dalam Bahasa Melayu dan mengadakan aktiviti luar kelas. Sumbangan kepada komuniti lebih senang untuk dilakukan kerana kita lebih mengenal oranng-orang sekitar kita.

Akhir sekali, negara seorang individu itu juga boleh memainkan peranan dalam isu ini dengan bertutur dalam bahasa Melayu apabila mereka ke negara lain untuk perbincangan mereka. Kerajaan negara itu juga boleh membuat kempen di dalam negaranya sendiri melalui media massa yang sering digunakan oleh remaja masa kini.


Usaha-Usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Menteri Pelajaran Malaysia, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu di¬terapkan melalui pendidikan bahasa.

Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Menteri Pelajaran Malaysia, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.

Peranan Pelajar Dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia

Pelajar-pelajar harus digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang berhubung dengan bahasa melayu yang betul dan baik susunan bahasanya. Bahan-bahan ini mungkin sedikit bilangannya, namun benda yang sedikit kalau dimanfaatkan tentu akan memberikan makna yang besar kepada kita semua.

Perkara yang paling penting dalam soal pemantapan bahasa si sekolah ialah peranan guru itu sendiri. Guru sering dianggap sebagai satu contoh terbaik yang menjadi ikutan pelajar. Oleh itu, guru-guru bahasa harus peka terhadap penggunaan bahasa melayu standard. Sebolehnya elakkan menggunakan bahasa dialek, bahasa campuran, dan bahasa basahan ketika berhadapan dengan pelajar-pelajar. Seandainya guru sendiri tidak peka terhadap penggunaan bahasa melayu, pelajar apatah lagi.

Bahasa Melayu dalam pendidikan tinggi di Malaysia. Nilai Bahasa Melayu menjadi tinggi kerana kebanyakkan kerja yang pesat berkembang di sektor awam mewajibkan pemohonnya lulus sekurang kurangnya dengan kredit dalam bahasa melayu pada peringkat SPM. Semua urusan dengan kerajaan perlu menggunakan bahasa melayu. Generasi muda daripada pelbagai keturunan yang cekap dan fasih dalam bahasa melayu telah menerima bahasa tersebut sebagai bahasa mereka. Pensyarah di IPTA daripada pelbagai ilmu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu untuk menyampaikan kuliah. Mereka menguasai istilah dan konsep dalam Bahasa Melayu dan menterjemahkannya bahan-bahan pengajaran daripada Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu.

Para pelajar di institusi pengajian tinggi sememangnya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Golongan pelajar ini juga adalah merupakan golongan cerdik pandai yang sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ilmu seperti seminar, pembentangan kertas kerja, pidato, forum, simposium dan pelbagai aktiviti yang melibatkan perbincangan, soal jawab , penerangan dan taklimat. Mereka seharusnya melibatkan diri dengan aktif agar boleh menggunakan bahasa dengan berhujah, memberi pandangan, ulasan dan apa sahaja yang membawa kepada pemantapan bahasa.

Selain itu, mereka juga boleh melibatkan diri dalam bidang penulisan ilmiah atau menghasilkan buku-buku yang boleh dijadikan panduan kepada golongan yang ingin mencari ilmu dan meluaskan pembacaan. Penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul merupakan langkah yang mesti diamalkan oleh para pelajar agar bahasa  yang dibentuk dapat membina jati diri  bangsa. Pelajar IPTA boleh menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa melayu. Disertai sarjana dan doktor falsafah juga boleh ditulis dalam Bahasa Melayu. Semua ini membawa perkembangan dan pengayaan yang besar terhadap Bahasa Melayu di Malaysia.

Contoh Amalan Bahasa Rojak


"Kau memang terror (hebat) la!"
"Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (bertolak ansur) punya maa!"


Pernahkah anda menggunakan bahasa seperti yang tertera di atas? Tidak? Anda pasti?

Namun, setiap orang pernah menggunakannya tidak kira di mana, dengan siapa ataupun dalam keadaan yang bagaimana. Memang tidak dapat dinafikan semakin hari, semakin ketara penggunaan bahasa rojak dalam kehidupan seharian kita. Kini, penggunaan bahasa rojak bukan setakat dalam perbualan sahaja malahan telah melanda dunia teknologi internet seperti di "Facebook" dan "Twitter". Bukan itu sahaja, program di televisyen, radio mahupun novel dan majalah turut menggunakan bahasa rojak. Misalnya, ada sesetengah filem yang menggunakan bahasa Malaysia tetapi mempunyai judul dalam bahasa Inggeris atau bahasa rojak. Sebagai contoh, Senario The Movie, Remp-it, Antoo Fighter dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie. Ini menunjukkan satu fenomena di mana bahasa rojak kini sudah digunakan secara meluas. Mungkinkah anak-anak generasi yang akan datang menggunakan bahasa rojak ini dalam penulisan karangan bahasa Malaysia mereka? Adakah ini merupakan suatu pencemaran bahasa?

Cara-Cara Mengatasi Masalah Penggunaan Bahasa Rojak

Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, mereka seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.

Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap Bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan Bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hai ini demikaian kerana Bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.

Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program television, filem dan drama yang menggunakan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya, program-program television yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar. Sebagai contohnya, program “Gengstarz”, “One In A Million” dan “Akademi Fantasia” yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa.


Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa telah mencemari martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat global.

Kesan-Kesan Penggunaan Bahasa Rojak

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Amalan bahasa rojak bermakna tabiat suka mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat. Tuntasnya, kesan–kesan yang timbul akibat daripada penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan perlu dikenal pasti supaya langkah–langkah yang pragmatik dapat diambil untuk mengatasinya.

Seperti yang telah dikatakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak telah memberi gambaran wujud keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris. Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.

Semetelahan itu, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam penghataran sistem pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebagai amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri. Hal ini demikian kerana, mereka tiada kemahiran dalam menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka telah biasa menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbelajaran di peringkat sekolah akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak dan bahasa singkatan.

Tambahan pula, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan menyebabkan pengguna kelihatan tidak serius. Pengguna tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang dan mereka bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Biar kita ambil contoh, apabila seseorang pelayan menggunakan kata ganti nama “you” kepada pelanggannya, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu, dia akan berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting kerana tanpa pelanggan perniagaan tidak dapat dijalankan. Keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelanggan kerana mereka merasa dirinya tidak dihormati. Sememangnya, pengguna akan kelihatan tidak serius ketika menggunakan bahasa rojak.

Punca Penggunaan Bahasa Rojak

Sikap kurang yakin masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Melayu. Kebanyakan masyarakat berpandangan bahawa tiada gunanya mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa tersebut akan lenyap ditelan zaman.

Sikap rakyat Malaysia yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Kebanyakan penduduk negara kita berpendapat bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang terulung di dunia.  Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia harus sedar bahawa Bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang mempunyai paling ramai penutur di dunia ini. Bahasa Inggeris hanyalah merupakan lingua franca, iaitu bahasa pertuturan yang paling utama dan meluas. Hal ini demikian kerana penggunaannya adalah sebagai ‘penyambung lidah’ antara bangsa-bangsa yang berlainan.
  
Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana masyarakat kurang menjiwai dan sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Contohnya, sikap penduduk di Perancis. Mereka tidak akan melayan bangsa asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, jika kita sendiri bertutur dalam bahasa Melayu, mereka akan melayan kita dengan sebaik mungkin. Sifat cinta akan bahasa sendiri inilah yang perlu wujud dalam diri setiap masyarakat Malaysia. Seseorang rakyat yang mencintai negaranya pasti tidak akan mengabaikan bahasa kebangsaannya.

Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan keadaan persekitaran. Seseorang yang sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Penggunaan bahasa rojak, bahasa kasar atau bahasa pasar di dalam SMS, bahasa dalam sembang internet dan blog juga merupakan antara punca kepada permasalahan ini. 

Penggunaan bahasa dalam media cetak dan media elektronik. Hal ini disebabkan kebanyakan media tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan dalam drama, filem, lagu-lagu, komik serta majalah sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, mereka terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Sikap penutur. Fenomena ini berpunca daripada sikap segelintir penutur yang ingin menonjolkan kehebatannya dengan menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya amat sukar untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam penggunaan bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh itu, mereka akan melatih kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar serta mempraktikkan dalam perbualan harian walaupun tidak berkemahiran.

Kebaikan Bahasa Rojak

Penggunaan bahasa rojak mendatangkan kemudahan bagi masyarakat yang menuturnya. Bagi masyarakat majmuk seperti masyarakat di negara kita, penggunaan bahasa rojak dikatakan relevan dengan penguasaan bahasa mereka. Contohya, masyarakat Cina dan masyarakat India, mereka lebih selesa menggunakan Bahasa Melayu rojak yang dicampur dengan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu secara betul.

Kebiasaannya, bahasa rojak yang sering digunakan meliputi percampuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan penggunaan bahasa rojak akan dianggap hebat dan mengikut perkembangan semasa jika dituturkan dalam berkomunikasi.  Sesuai digunakan dalam proses untuk mempelajari sesuatu. Bahasa rojak sering digunakan oleh masyarakat untuk memudahkan mereka memahami dan mempelajari ilmu. Contohnya, ketika waktu pembelajaran guru juga menggunakan bahasa rojak untuk memastikan pelajar memahami perkara yang diajar.

Penggunaan bahasa rojak juga membolehkan kita mengetahui perkataan dalam pelbagai bahasa. Contohnya, kita dapat mengetahui pelbagai perkataan Inggeris yang hebat-hebat bunyinya.  Bahasa rojak juga tidak mempengaruhi kemerosotan akademik pelajar. Biarpun bahasa rojak dalam masyarakat melayu dikatakan begitu ketara tetapi dari segi tulisan ia masih ditahap yang membanggakan, bukan sahaja kepada orang melayu bahkan kepada kaum lain seperti kaum cina dan india.

Bahasa rojak melambangkan identiti masyarakat Malaysia. Hal ini kerana masyarakat Malaysia juga akan menggunakan bahasa rojak walau di mana mereka berada dan seterusnya memudahkan identiti masyarakat Malaysia dikenalpasti.

Fenomena Bahasa Rojak

“Aku rasa Amazing race lebih best dari explorace ni. At least Amazing race semua sama rata, clue dia lebih stright to the point. Cuma aku tak faham lah kenapa TV3 suka pengacara dia cakap rojak. Sekejap cakap English, sekejap cakap melayu. Kalau nak english buatlah english semua".

Itulah contoh bahasa rojak (bahasa campur antara Melayu dan Inggeris) yang telah menjadi virus di Malaysia. Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka penggunaan bahasa rojak telah pun berlaku hasil pertembungan bangsa dan budaya dalam kalangan pedagang dunia dengan penduduk tempatan di negeri Melaka. Pada umumnya, Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Sebagai contohnya, Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris. Pada masa sekarang, bahasa rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekali gus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi oleh kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Oleh itu, punca-punca dan langkah-langkah mengatasi penggunaan bahasa rojak akan ditelusuri demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca perdana penggunaan bahasa rojak ialah sikap penutur sendiri. Hal ini demikian kerana sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebatan mereka menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam Bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh sebab itu, mereka akan cuba melatih diri dalam kemahiran berbahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan para pelajar sekolah di luar bandar. Mereka akan cuba menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan harian meskipun tidak mempunyai kemahiran. Akhirnya, wujudlah fenomena penggunaan bahasa rojak dalam perbualan seharian. Mereka tidak berasa malu dan segan apabila bertutur menggunakan bahasa rojak, malah mereka berbangga kerana mereka beranggapan bahasa yang digunakan itu menunjukkan status mereka dalam masyarakat.

Sejajar dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, bahasa rojak telah digunakan secara meluas dalam komunikasi melalui khidmatan pesanan ringkas (SMS) dan laman sesawang di Internet. Fenomena ini dikatakan salah satu faktor kelemahan penguasaan pelajar dalam subjek Bahasa Malaysia, terutamanya dalam aspek penulisan. Kita sering mendapati pelajar-pelajar selalu terbawa-bawa amalan penggunaan bahasa rojak dalam pergaulan seharian dalam penulisan karangan mereka di sekolah. Bagi golongan pelajar yang masih di bangku sekolah ini, penggunaan bahasa rojak sangat meluas penggunaannya dalam hubungan mereka seharian termasuk dengan rakan sebaya, mungkin juga turut menular ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga dan sanak-saudara. Semasa berhubung menggunakan SMS dan bersembang menggunakan laman web sosial seperti "Facebook" dan "Twitter" mereka lebih suka menggunakan bahasa rojak yang lebih senang difahami dan ditulis serta menjimatkan masa. Tabiat ini dilakukan selama berjam-jam sehingga menjadi sebati dengan diri mereka. Natijahnya, pelajar cenderung menggunakan bahasa lisan yang diringkaskan, malah ada yang mewujudkan istilah perkataan sendiri bagi tujuan kemudahan, penjimatan, dan juga gaya komunikasi.

Selain itu, penggunaan bahasa dalam media cetak dan elektronik turut menyumbang kepada permasalahan ini. Kebanyakan filem, drama, dan rancangan hiburan yang disiarkan di negara kita menonjolkan pelakon, pengacara dan peserta yang menggunakan bahasa rojak untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan bahasa rojak juga turut melibatkan golongan pemimpin dan tetamu-tetamu jemputan yang berprofil tinggi untuk mengulas tentang sesuatu isu. Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat mudah meniru dan akhirnya tidak segan silu menggunakan bahasa rojak apabila berkomunikasi. Tindakan penerbit dan pengarah filem yang cenderung menggambarkan golongan berada atau golongan atasan berkomunikasi menggunakan bahasa rojak untuk menggambarkan status mereka dalam masyarakat meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Oleh sebab itu, fenomena penggunaan bahasa rojak semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Fenomena penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat hendaklah dikekang. Pihak yang perlu memainkan peranan utama dalam menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dengan betul semasa berkomunikasi dengan anak-anak di rumah sejak anak-anak mereka kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan ini, apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka sudah tahu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis ini akan sebati dalam diri mereka sehingga dewasa. Pepatah Melayu ada mengatakan, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, yang amat sesuai untuk menggambarkan bahawa didikan ibu bapa terhadap anak-anak sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa Melayu yang sejati, tidak mustahil anak-anak mereka juga memiliki sifat yang sama.

Konklusinya, bahasa rojak bukanlah budaya kita yang sejati. Oleh sebab itu, kita harus berganding bahu bagai isi dengan kuku untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan jati diri bangsa Malaysia turun-temurun. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya tahu "berbahasa rojak'', tidak lancar Bahasa Inggerisnya dan tidak pula fasih Bahasa Melayunya. Ini bukan sahaja merupakan satu masalah komunikasi tetapi sudah boleh dianggap sebagai satu `krisis identiti'. Satu langkah yang tegas dan menyeluruh hendaklah diambil untuk membongkar hingga ke akar umbi sebab musabab yang menjadi punca krisis tersebut. Hanya setelah sebab musabab yang sebenar diketahui maka satu penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.

Seterusnya, peranan pihak berwajib tidak boleh dikesampingkan dalam usaha menangani masalah ini. Pihak yang paling berwajib dalam membendung fenomena ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran, dan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Ketiga-tiga pihak hendaklah bermusyawarah untuk berbincang mengenai isu ini. Sehubungan dengan itu, bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A.Aziz Deraman memberitahu bahawa Akta DBP yang dipinda, perlu mengatasi kuasa akta-akta yang lain. Hal ini bertujuan untuk mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara yang salah. Kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini. Tindakan ini hendaklah mendapat kerjasama daripada semua pihak. Sekiranya tidak, usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu pasti sia-sia sahaja.

Akhir sekali, peranan guru terutamanya guru Bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris di sekolah hendaklah diperkasakan. Guru-guru perlulah mengubah sikap pelajar yang suka berkomunikasi menggunakan bahasa rojak secara lisan mahupun SMS. Guru-guru bahasa haruslah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pelajar-pelajar di sekolah. Mereka perlu berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul dan gramatis semasa mengajar. Oleh sebab itu guru mesti sentiasa berada dalam keadaan berkualiti, berkesan, dan menguasai kandungan subjeknya jauh lebih tinggi daripada pengetahuan dan kemahiran yang sedia dimiliki pelajar. Tambahan lagi, mereka perlu membuat persediaan, memperbaiki serta mempelbagai kaedah penyampaian termasuk memanfaatkan kemajuan teknologi sedaia ada secara kreatif. Kepentingan berbahasa dengan betul hendaklah disebarluaskan kepada pelajar-pelajar kerana bahasa melambangkan bangsa. Pelajar-pelajar hendaklah diingatkan bahawa Bahasa Melayu merupakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan sehingga ke persada antarabangsa.

Asal Usul Bahasa Rojak

Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Misalnya Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris.

Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa rojak dapat dikesan apabila sebuah entrepot antarabangsa didirikan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah menarik ramai pedagang dari pelbagai bangsa dan budaya yang secara keseluruhannya bertutur lebih daripada 80 bahasa. Oleh itu, pedagang dunia dan penduduk tempatan sudah biasa menggunapakai pelbagai bahasa dalam satu pertuturan .Mengikut ensiklopedia Malaysia (vol. bahasa dan budaya), bahasa rojak merupakan sebahagian daripada pijin bahasa penghubung di Malaysia. Keunikan bahasa ini terdapat dalam gaya alihannya.

Maksud Bahasa Rojak

Apa itu "bahasa rojak"? 

Dalam Kamus Dewan edisi ketiga, 'bahasa' bermaksud satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. 

Menurut Kamus Dewan 'rojak' bermaksud:-

1 .Sejenis makanan daripada buah-buahan mentah dan sayur-sayuran campur yang berkuah: ~ manis; ~ ulek; 

2. Berupa sesuatu yang bercampur aduk: eh, ini majalah ~! Ataupun rojek II; merojak menumbuk (sirih); projek; ~ sirih penumbuk sirih, gobek.

Menurut Mohd Aazem Bin Mazlam (2010), terdapat beberapa faktor menyebabkan bahasa rojak semakin berleluasa di negara kita. Antara faktor yang diselitkan oleh Mohd Aazem Bin Mazlam (2010) ialah media massa. Bahasa rojak begitu meluas digunakan dalam media samaada media eletronik ataupun media cetak pada hari ini Mohd Aazem Bin Mazlam (2010). Oleh demikian, beliau berpendapat melalui penggunaan bahasa rojak ini akhirnya telah menjejaskan bahasa kebangsaan kita. Hal ini berikutan kerana pengguna perkhidmatan media di negara kita terlalu ramai dan member impak yang besar kepada Bahasa Melayu. Contohnya, terdapat rancangan yang dipaparkan dalam televisyen pada hari ini menggunakan bahasa rojak sebagai judul atau tajuk rancangan yang disiarkan seperti “Konsert Sure Heboh” (Mohd Aazem Bin Mazlam, 2010)

Melalui satu artikel dari MyMetro oleh M Jasni Majed, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap nasib bahasa kebangsaan negara kita ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri. M Jasni Majed menjelaskan bahawa perubahan zaman selalunya menempiaskan istilah baru yang diguna pakai dalam pelbagai bidang. Keadaan ini jelas tergambar di sekeliling kita di mana ramai orang muda kini yang gemar menonjolkan diri akan menganggap sesiapa yang tidak pandai menyesuaikan diri atau tidak boleh menggunakan dan memahami istilah baru terutamanya dari luar adalah mereka yang ketinggalan zaman. 

Muhamad Suhaimi Razali (2013) menunjukkan beberapa contoh apabila kata singkatan digunakan dalam perbualan harian. Antara kata singkatan adalah seperti ‘tak’, ‘nak’, ‘mau’, ‘tau’, dan beberapa lagi juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak yang sebenarnya tidak boleh diucapkan dan ditulis dalam majlis dan urusan rasmi. Jika kita menggunakan bahasa remaja dalam pertuturan harian seperti ‘awek’, ‘cun’, ‘kantoi’, ‘cilok’, ‘otai’ dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak jika disalah guna dalam urusan rasmi (Muhamad Suhaimi Razali, 2013)  Tambahan pula, beliau turut menjelaskan penyesalan bila terbaca akhbar harian yang terikut-ikut meletakkan kata-kata ini sebagai tajuk sesuatu berita meskipun hakikatnya penggunaan istilah tersebut sudah sebati di kalangan remaja negara kita. Sasaran utama perbincangan orang ramai tentang kekuatan pengaruh bahasa rojak jika dikaitkan dengan media massa adalah penglibatan orang ramai dalam khidmat SMS yang terpapar di skrin televisyen (Muhamad Suhaimi Razali, 2013)  Di sinilah kita dapat melihat pelbagai istilah baru diketengahkan kepada khalayak sehingga ada yang membawa masuk istilah ini ke dalam urusan rasmi. Muhamad Suhaimi Razali (2013) menyatakan yang Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai sikap orang kita yang gemar bercakap separuh belut separuh ular. Pencinta bahasa lain turut menyatakan rasa tidak puas hati kerana kualiti bahasa kebangsaan semakin merosot penggunaannya dan mereka membayangkan apa yang bakal terjadi sepuluh atau dua puluh tahun akan datang jika usaha menanganinya tidak dilakukan dari sekarang (Muhamad Suhaimi Razali, 2013). 

Kesimpulannya, sendiri berpendapat bahawa punca utama berlakunya penggunaan bahasa rojak adalah sikap kita sendiri yang mementingkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Kemasukan istilah asing yang dianggap lebih sesuai dan dapat mengangkat imej penuturnya terutama bagi masyarakat bandar memburukkan lagi keadaan. Pendek kata, Bahasa adalah maruah kepada bangsa itu sendiri dan jika tidak dijaga, ia tidak mungkin lagi dihormati, seterusnya membawa kepada jatuhnya maruah sesebuah bangsa.

Pendahuluan


Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan sendiri, iaitu Bahasa Malaysia.  Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada Bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16.  Sejak tahun 1955, Bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka.  Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152.  Krisis baharu yang melanda Bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini.  Faktor kedua berpunca daripada sikap orang melayu sendiri.  Hal ini demikian kerana orang melayu berkuasa telah meminggirkan Bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan.  Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan Bahasa Malaysia.  Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri.  Rata-rata ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam Bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan Bahasa Malaysia.  Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan Bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu.  Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Menteri Pelajaran Malaysia, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap Bahasa Malaysia.  Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian.  Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda disamping memupuk kecintaan terhadap Bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa kini.


Pemerkasaan Bahasa Malaysia di sekolah.  Sikap pelajar yang sering menganggap Bahasa Malaysia itu mudah kerana Bahasa Malaysia itu adalah bahasa pertuturan mereka seharian perlu dikikis sama sekali.  Semua pelajar dan guru harus meletakkan Bahasa Malaysia ditempat yang sewajarnya dalam segala hal di sekolah.  Lantaran itu, mereka harus membiasakan menggunakan Bahasa Malaysia yang betul, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran.  Amalan ini dapat memberikan kesedaran kepada mereka bahawa Bahasa Malaysia yang betul sahaja harus digunakan.  Cara ini dapat menanamkan semangat cinta kepada Bahasa Malaysia. 

Selasa, 10 Januari 2017

Muka Depan

 

SESI DIS 2016

DUA 6022: KOMUNIKASI DAN PENYIARAN DALAM ISLAM

TAJUK: PENGGUNAAN BAHASA ROJAK SUDAH MENJADI AMALAN RAKYAT MALAYSIA

 NAMA:
AZLINA BT AB AZIZ                                                          (02DSK14F1074)
AINUNALIA BT IBRAHIM                                                 (02DSK14F1014)
NORHANISAH BT MOHD NASIR                                     (02DSK14F1050)
WAN NURUL AMIRA BT WAN SA’ADUN                       (02DSK14F1054)
NOR HAFIZAH BT MOHAMED JALALUDDIN             (02DSK14F1044)
SITI RADZIAH BT ROSLI                                                   (02DSK14F1024)

KELAS: DSK6B

NAMA PENSYARAH: PUAN RINA FAKHIZAN BINTI MOHD SUKRI