Rabu, 11 Januari 2017

Pendahuluan


Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan sendiri, iaitu Bahasa Malaysia.  Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada Bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16.  Sejak tahun 1955, Bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka.  Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152.  Krisis baharu yang melanda Bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini.  Faktor kedua berpunca daripada sikap orang melayu sendiri.  Hal ini demikian kerana orang melayu berkuasa telah meminggirkan Bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan.  Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan Bahasa Malaysia.  Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri.  Rata-rata ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam Bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan Bahasa Malaysia.  Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan Bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu.  Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Menteri Pelajaran Malaysia, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap Bahasa Malaysia.  Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian.  Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda disamping memupuk kecintaan terhadap Bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa kini.


Pemerkasaan Bahasa Malaysia di sekolah.  Sikap pelajar yang sering menganggap Bahasa Malaysia itu mudah kerana Bahasa Malaysia itu adalah bahasa pertuturan mereka seharian perlu dikikis sama sekali.  Semua pelajar dan guru harus meletakkan Bahasa Malaysia ditempat yang sewajarnya dalam segala hal di sekolah.  Lantaran itu, mereka harus membiasakan menggunakan Bahasa Malaysia yang betul, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran.  Amalan ini dapat memberikan kesedaran kepada mereka bahawa Bahasa Malaysia yang betul sahaja harus digunakan.  Cara ini dapat menanamkan semangat cinta kepada Bahasa Malaysia.