Rabu, 11 Januari 2017

Cara-Cara Mengatasi Masalah Penggunaan Bahasa Rojak

Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, mereka seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.

Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap Bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan Bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hai ini demikaian kerana Bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.

Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program television, filem dan drama yang menggunakan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya, program-program television yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar. Sebagai contohnya, program “Gengstarz”, “One In A Million” dan “Akademi Fantasia” yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa.


Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa telah mencemari martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat global.