Setiap
penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa
rojak dan bahasa singkatan. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan
kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam
masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, mereka seharusnya menunjukkan teladan
yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa
dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik
semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Jika mereka menggunakan
bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu
juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat
dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul.
Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah
penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.
Selain
itu, bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan terus digunakan sikap
pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap Bahasa Melayu kolot dan tidak
standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan Bahasa Melayu tidak mempunyai
perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh
diterima. Hai ini demikaian kerana Bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup
menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya.
Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu Bahasa
Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya
bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan
latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah
supaya gejala ini dapat diatasi.
Peranan
media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan
digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa
terutamanya bagi golongan remaja. Program television, filem dan drama yang
menggunakan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan dipelajari oleh remaja.
Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba
sesuatu. Seharusnya, program-program television yang mengandungi penggunaan
bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar. Sebagai contohnya, program
“Gengstarz”, “One In A Million” dan “Akademi Fantasia” yang menggunakan bahasa
rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini
dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa.
Kesimpulannya,
penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa telah mencemari
martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu
merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh
itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus
bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk
menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha
meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat
dinaikkan sampai ke peringkat global.