Sedasawarsa
ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru
dunia tentang penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Amalan bahasa rojak
bermakna tabiat suka mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris semasa
menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan
masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih memberatkan lagi
ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam kalangan golongan
berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat. Tuntasnya, kesan–kesan
yang timbul akibat daripada penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan perlu
dikenal pasti supaya langkah–langkah yang pragmatik dapat diambil untuk
mengatasinya.
Seperti
yang telah dikatakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan
mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak telah memberi
gambaran wujud keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat. Keadaan
ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta
ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri
bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris.
Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya
gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan
keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa
kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak merupakan tamparan kepada
identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.
Semetelahan
itu, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan
pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan
bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam
penghataran sistem pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebagai
amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi
seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri. Hal ini demikian kerana, mereka tiada
kemahiran dalam menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka
telah biasa menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka.
Sehubungan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menulis tanpa
menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa
perbelajaran di peringkat sekolah akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak
dan bahasa singkatan.
Tambahan
pula, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan menyebabkan pengguna
kelihatan tidak serius. Pengguna tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan
dengan matang dan mereka bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Biar
kita ambil contoh, apabila seseorang pelayan menggunakan kata ganti nama “you”
kepada pelanggannya, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu,
dia akan berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan
adalah penting kerana tanpa pelanggan perniagaan tidak dapat dijalankan.
Keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati
dalam kalangan pelanggan kerana mereka merasa dirinya tidak dihormati.
Sememangnya, pengguna akan kelihatan tidak serius ketika menggunakan bahasa
rojak.