Sikap
kurang yakin masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Melayu. Kebanyakan masyarakat
berpandangan bahawa tiada gunanya mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa
tersebut akan lenyap ditelan zaman.
Sikap
rakyat Malaysia yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Kebanyakan penduduk
negara kita berpendapat bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang terulung
di dunia. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia harus sedar bahawa Bahasa Inggeris
bukanlah bahasa yang mempunyai paling ramai penutur di dunia ini. Bahasa
Inggeris hanyalah merupakan lingua franca, iaitu bahasa pertuturan yang paling
utama dan meluas. Hal ini demikian kerana penggunaannya adalah sebagai
‘penyambung lidah’ antara bangsa-bangsa yang berlainan.
Kurangnya
semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian
kerana masyarakat kurang menjiwai dan sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa
ibunda. Contohnya, sikap penduduk di Perancis. Mereka tidak akan melayan bangsa
asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, jika kita sendiri
bertutur dalam bahasa Melayu, mereka akan melayan kita dengan sebaik mungkin.
Sifat cinta akan bahasa sendiri inilah yang perlu wujud dalam diri setiap
masyarakat Malaysia. Seseorang rakyat yang mencintai negaranya pasti tidak akan
mengabaikan bahasa kebangsaannya.
Faktor
emosi serta cara didikan keluarga dan keadaan persekitaran. Seseorang yang
sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan
gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Penggunaan bahasa
rojak, bahasa kasar atau bahasa pasar di dalam SMS, bahasa dalam sembang
internet dan blog juga merupakan antara punca kepada permasalahan
ini.
Penggunaan
bahasa dalam media cetak dan media elektronik. Hal ini disebabkan kebanyakan
media tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk
menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan perkataan yang tidak
sesuai yang ditonjolkan dalam drama, filem, lagu-lagu, komik serta majalah
sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, mereka
terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.
Sikap
penutur. Fenomena ini berpunca daripada sikap segelintir penutur yang ingin
menonjolkan kehebatannya dengan menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur
bahasa rojak biasanya amat sukar untuk berkomunikasi dalam persekitaran
terutamanya dalam penggunaan bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh itu, mereka
akan melatih kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah luar
bandar serta mempraktikkan dalam perbualan harian walaupun tidak berkemahiran.