Dalam dunia
korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia
dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman,
tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak
terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat
diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga
bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari
kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang
enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan
teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi.
Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat
kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan
bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.
Selain itu, dasar
penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia
sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi.
Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga
belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat
persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.
Dalam usaha
memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama
yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan
usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah
digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains
dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti
dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang
mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang
digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan
yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di
pusat pengajian tinggi.
Di samping itu,
seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan
dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian,
mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi
monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa
kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor
Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa
menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau
media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua
urusan rasmi.
Selain itu, peranan
media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab
sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan
sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus
menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen
penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan
begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan
penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh
dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat
bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.
Di samping itu,
mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif
untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu
bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu.
Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Menteri Pelajaran Malaysia, beliau mengatakan
bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan
Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan
akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia.
Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras
dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut
diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat
mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa
Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.
Warga pendidik di
negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa
Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik
hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam
kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga
bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik
lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum
pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya
menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam
konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu
di¬terapkan melalui pendidikan bahasa.
Sehubungan dengan
itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah
dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak
kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk
masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan
pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa
ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan
sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam
semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan
memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas
dunia.
Menurut Menteri
Pelajaran Malaysia, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap,
tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah
lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia
yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa
antara orang-orang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik,
cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan
segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa
Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya
kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia
haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak
bangsa.
Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.