Rabu, 11 Januari 2017

Kesan-Kesan Penggunaan Bahasa Rojak

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Amalan bahasa rojak bermakna tabiat suka mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat. Tuntasnya, kesan–kesan yang timbul akibat daripada penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan perlu dikenal pasti supaya langkah–langkah yang pragmatik dapat diambil untuk mengatasinya.

Seperti yang telah dikatakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak telah memberi gambaran wujud keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris. Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.

Semetelahan itu, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam penghataran sistem pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebagai amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri. Hal ini demikian kerana, mereka tiada kemahiran dalam menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka telah biasa menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbelajaran di peringkat sekolah akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak dan bahasa singkatan.

Tambahan pula, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan menyebabkan pengguna kelihatan tidak serius. Pengguna tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang dan mereka bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Biar kita ambil contoh, apabila seseorang pelayan menggunakan kata ganti nama “you” kepada pelanggannya, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu, dia akan berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting kerana tanpa pelanggan perniagaan tidak dapat dijalankan. Keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelanggan kerana mereka merasa dirinya tidak dihormati. Sememangnya, pengguna akan kelihatan tidak serius ketika menggunakan bahasa rojak.

Punca Penggunaan Bahasa Rojak

Sikap kurang yakin masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Melayu. Kebanyakan masyarakat berpandangan bahawa tiada gunanya mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa tersebut akan lenyap ditelan zaman.

Sikap rakyat Malaysia yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Kebanyakan penduduk negara kita berpendapat bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang terulung di dunia.  Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia harus sedar bahawa Bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang mempunyai paling ramai penutur di dunia ini. Bahasa Inggeris hanyalah merupakan lingua franca, iaitu bahasa pertuturan yang paling utama dan meluas. Hal ini demikian kerana penggunaannya adalah sebagai ‘penyambung lidah’ antara bangsa-bangsa yang berlainan.
  
Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana masyarakat kurang menjiwai dan sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Contohnya, sikap penduduk di Perancis. Mereka tidak akan melayan bangsa asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, jika kita sendiri bertutur dalam bahasa Melayu, mereka akan melayan kita dengan sebaik mungkin. Sifat cinta akan bahasa sendiri inilah yang perlu wujud dalam diri setiap masyarakat Malaysia. Seseorang rakyat yang mencintai negaranya pasti tidak akan mengabaikan bahasa kebangsaannya.

Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan keadaan persekitaran. Seseorang yang sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Penggunaan bahasa rojak, bahasa kasar atau bahasa pasar di dalam SMS, bahasa dalam sembang internet dan blog juga merupakan antara punca kepada permasalahan ini. 

Penggunaan bahasa dalam media cetak dan media elektronik. Hal ini disebabkan kebanyakan media tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan dalam drama, filem, lagu-lagu, komik serta majalah sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, mereka terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Sikap penutur. Fenomena ini berpunca daripada sikap segelintir penutur yang ingin menonjolkan kehebatannya dengan menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya amat sukar untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam penggunaan bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh itu, mereka akan melatih kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar serta mempraktikkan dalam perbualan harian walaupun tidak berkemahiran.

Kebaikan Bahasa Rojak

Penggunaan bahasa rojak mendatangkan kemudahan bagi masyarakat yang menuturnya. Bagi masyarakat majmuk seperti masyarakat di negara kita, penggunaan bahasa rojak dikatakan relevan dengan penguasaan bahasa mereka. Contohya, masyarakat Cina dan masyarakat India, mereka lebih selesa menggunakan Bahasa Melayu rojak yang dicampur dengan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu secara betul.

Kebiasaannya, bahasa rojak yang sering digunakan meliputi percampuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan penggunaan bahasa rojak akan dianggap hebat dan mengikut perkembangan semasa jika dituturkan dalam berkomunikasi.  Sesuai digunakan dalam proses untuk mempelajari sesuatu. Bahasa rojak sering digunakan oleh masyarakat untuk memudahkan mereka memahami dan mempelajari ilmu. Contohnya, ketika waktu pembelajaran guru juga menggunakan bahasa rojak untuk memastikan pelajar memahami perkara yang diajar.

Penggunaan bahasa rojak juga membolehkan kita mengetahui perkataan dalam pelbagai bahasa. Contohnya, kita dapat mengetahui pelbagai perkataan Inggeris yang hebat-hebat bunyinya.  Bahasa rojak juga tidak mempengaruhi kemerosotan akademik pelajar. Biarpun bahasa rojak dalam masyarakat melayu dikatakan begitu ketara tetapi dari segi tulisan ia masih ditahap yang membanggakan, bukan sahaja kepada orang melayu bahkan kepada kaum lain seperti kaum cina dan india.

Bahasa rojak melambangkan identiti masyarakat Malaysia. Hal ini kerana masyarakat Malaysia juga akan menggunakan bahasa rojak walau di mana mereka berada dan seterusnya memudahkan identiti masyarakat Malaysia dikenalpasti.

Fenomena Bahasa Rojak

“Aku rasa Amazing race lebih best dari explorace ni. At least Amazing race semua sama rata, clue dia lebih stright to the point. Cuma aku tak faham lah kenapa TV3 suka pengacara dia cakap rojak. Sekejap cakap English, sekejap cakap melayu. Kalau nak english buatlah english semua".

Itulah contoh bahasa rojak (bahasa campur antara Melayu dan Inggeris) yang telah menjadi virus di Malaysia. Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka penggunaan bahasa rojak telah pun berlaku hasil pertembungan bangsa dan budaya dalam kalangan pedagang dunia dengan penduduk tempatan di negeri Melaka. Pada umumnya, Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Sebagai contohnya, Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris. Pada masa sekarang, bahasa rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekali gus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi oleh kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Oleh itu, punca-punca dan langkah-langkah mengatasi penggunaan bahasa rojak akan ditelusuri demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca perdana penggunaan bahasa rojak ialah sikap penutur sendiri. Hal ini demikian kerana sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebatan mereka menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam Bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh sebab itu, mereka akan cuba melatih diri dalam kemahiran berbahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan para pelajar sekolah di luar bandar. Mereka akan cuba menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan harian meskipun tidak mempunyai kemahiran. Akhirnya, wujudlah fenomena penggunaan bahasa rojak dalam perbualan seharian. Mereka tidak berasa malu dan segan apabila bertutur menggunakan bahasa rojak, malah mereka berbangga kerana mereka beranggapan bahasa yang digunakan itu menunjukkan status mereka dalam masyarakat.

Sejajar dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, bahasa rojak telah digunakan secara meluas dalam komunikasi melalui khidmatan pesanan ringkas (SMS) dan laman sesawang di Internet. Fenomena ini dikatakan salah satu faktor kelemahan penguasaan pelajar dalam subjek Bahasa Malaysia, terutamanya dalam aspek penulisan. Kita sering mendapati pelajar-pelajar selalu terbawa-bawa amalan penggunaan bahasa rojak dalam pergaulan seharian dalam penulisan karangan mereka di sekolah. Bagi golongan pelajar yang masih di bangku sekolah ini, penggunaan bahasa rojak sangat meluas penggunaannya dalam hubungan mereka seharian termasuk dengan rakan sebaya, mungkin juga turut menular ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga dan sanak-saudara. Semasa berhubung menggunakan SMS dan bersembang menggunakan laman web sosial seperti "Facebook" dan "Twitter" mereka lebih suka menggunakan bahasa rojak yang lebih senang difahami dan ditulis serta menjimatkan masa. Tabiat ini dilakukan selama berjam-jam sehingga menjadi sebati dengan diri mereka. Natijahnya, pelajar cenderung menggunakan bahasa lisan yang diringkaskan, malah ada yang mewujudkan istilah perkataan sendiri bagi tujuan kemudahan, penjimatan, dan juga gaya komunikasi.

Selain itu, penggunaan bahasa dalam media cetak dan elektronik turut menyumbang kepada permasalahan ini. Kebanyakan filem, drama, dan rancangan hiburan yang disiarkan di negara kita menonjolkan pelakon, pengacara dan peserta yang menggunakan bahasa rojak untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan bahasa rojak juga turut melibatkan golongan pemimpin dan tetamu-tetamu jemputan yang berprofil tinggi untuk mengulas tentang sesuatu isu. Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat mudah meniru dan akhirnya tidak segan silu menggunakan bahasa rojak apabila berkomunikasi. Tindakan penerbit dan pengarah filem yang cenderung menggambarkan golongan berada atau golongan atasan berkomunikasi menggunakan bahasa rojak untuk menggambarkan status mereka dalam masyarakat meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Oleh sebab itu, fenomena penggunaan bahasa rojak semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Fenomena penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat hendaklah dikekang. Pihak yang perlu memainkan peranan utama dalam menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dengan betul semasa berkomunikasi dengan anak-anak di rumah sejak anak-anak mereka kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan ini, apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka sudah tahu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis ini akan sebati dalam diri mereka sehingga dewasa. Pepatah Melayu ada mengatakan, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, yang amat sesuai untuk menggambarkan bahawa didikan ibu bapa terhadap anak-anak sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa Melayu yang sejati, tidak mustahil anak-anak mereka juga memiliki sifat yang sama.

Konklusinya, bahasa rojak bukanlah budaya kita yang sejati. Oleh sebab itu, kita harus berganding bahu bagai isi dengan kuku untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan jati diri bangsa Malaysia turun-temurun. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya tahu "berbahasa rojak'', tidak lancar Bahasa Inggerisnya dan tidak pula fasih Bahasa Melayunya. Ini bukan sahaja merupakan satu masalah komunikasi tetapi sudah boleh dianggap sebagai satu `krisis identiti'. Satu langkah yang tegas dan menyeluruh hendaklah diambil untuk membongkar hingga ke akar umbi sebab musabab yang menjadi punca krisis tersebut. Hanya setelah sebab musabab yang sebenar diketahui maka satu penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.

Seterusnya, peranan pihak berwajib tidak boleh dikesampingkan dalam usaha menangani masalah ini. Pihak yang paling berwajib dalam membendung fenomena ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran, dan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Ketiga-tiga pihak hendaklah bermusyawarah untuk berbincang mengenai isu ini. Sehubungan dengan itu, bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A.Aziz Deraman memberitahu bahawa Akta DBP yang dipinda, perlu mengatasi kuasa akta-akta yang lain. Hal ini bertujuan untuk mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara yang salah. Kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini. Tindakan ini hendaklah mendapat kerjasama daripada semua pihak. Sekiranya tidak, usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu pasti sia-sia sahaja.

Akhir sekali, peranan guru terutamanya guru Bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris di sekolah hendaklah diperkasakan. Guru-guru perlulah mengubah sikap pelajar yang suka berkomunikasi menggunakan bahasa rojak secara lisan mahupun SMS. Guru-guru bahasa haruslah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pelajar-pelajar di sekolah. Mereka perlu berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul dan gramatis semasa mengajar. Oleh sebab itu guru mesti sentiasa berada dalam keadaan berkualiti, berkesan, dan menguasai kandungan subjeknya jauh lebih tinggi daripada pengetahuan dan kemahiran yang sedia dimiliki pelajar. Tambahan lagi, mereka perlu membuat persediaan, memperbaiki serta mempelbagai kaedah penyampaian termasuk memanfaatkan kemajuan teknologi sedaia ada secara kreatif. Kepentingan berbahasa dengan betul hendaklah disebarluaskan kepada pelajar-pelajar kerana bahasa melambangkan bangsa. Pelajar-pelajar hendaklah diingatkan bahawa Bahasa Melayu merupakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan sehingga ke persada antarabangsa.

Asal Usul Bahasa Rojak

Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Misalnya Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris.

Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa rojak dapat dikesan apabila sebuah entrepot antarabangsa didirikan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah menarik ramai pedagang dari pelbagai bangsa dan budaya yang secara keseluruhannya bertutur lebih daripada 80 bahasa. Oleh itu, pedagang dunia dan penduduk tempatan sudah biasa menggunapakai pelbagai bahasa dalam satu pertuturan .Mengikut ensiklopedia Malaysia (vol. bahasa dan budaya), bahasa rojak merupakan sebahagian daripada pijin bahasa penghubung di Malaysia. Keunikan bahasa ini terdapat dalam gaya alihannya.

Maksud Bahasa Rojak

Apa itu "bahasa rojak"? 

Dalam Kamus Dewan edisi ketiga, 'bahasa' bermaksud satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. 

Menurut Kamus Dewan 'rojak' bermaksud:-

1 .Sejenis makanan daripada buah-buahan mentah dan sayur-sayuran campur yang berkuah: ~ manis; ~ ulek; 

2. Berupa sesuatu yang bercampur aduk: eh, ini majalah ~! Ataupun rojek II; merojak menumbuk (sirih); projek; ~ sirih penumbuk sirih, gobek.

Menurut Mohd Aazem Bin Mazlam (2010), terdapat beberapa faktor menyebabkan bahasa rojak semakin berleluasa di negara kita. Antara faktor yang diselitkan oleh Mohd Aazem Bin Mazlam (2010) ialah media massa. Bahasa rojak begitu meluas digunakan dalam media samaada media eletronik ataupun media cetak pada hari ini Mohd Aazem Bin Mazlam (2010). Oleh demikian, beliau berpendapat melalui penggunaan bahasa rojak ini akhirnya telah menjejaskan bahasa kebangsaan kita. Hal ini berikutan kerana pengguna perkhidmatan media di negara kita terlalu ramai dan member impak yang besar kepada Bahasa Melayu. Contohnya, terdapat rancangan yang dipaparkan dalam televisyen pada hari ini menggunakan bahasa rojak sebagai judul atau tajuk rancangan yang disiarkan seperti “Konsert Sure Heboh” (Mohd Aazem Bin Mazlam, 2010)

Melalui satu artikel dari MyMetro oleh M Jasni Majed, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap nasib bahasa kebangsaan negara kita ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri. M Jasni Majed menjelaskan bahawa perubahan zaman selalunya menempiaskan istilah baru yang diguna pakai dalam pelbagai bidang. Keadaan ini jelas tergambar di sekeliling kita di mana ramai orang muda kini yang gemar menonjolkan diri akan menganggap sesiapa yang tidak pandai menyesuaikan diri atau tidak boleh menggunakan dan memahami istilah baru terutamanya dari luar adalah mereka yang ketinggalan zaman. 

Muhamad Suhaimi Razali (2013) menunjukkan beberapa contoh apabila kata singkatan digunakan dalam perbualan harian. Antara kata singkatan adalah seperti ‘tak’, ‘nak’, ‘mau’, ‘tau’, dan beberapa lagi juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak yang sebenarnya tidak boleh diucapkan dan ditulis dalam majlis dan urusan rasmi. Jika kita menggunakan bahasa remaja dalam pertuturan harian seperti ‘awek’, ‘cun’, ‘kantoi’, ‘cilok’, ‘otai’ dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak jika disalah guna dalam urusan rasmi (Muhamad Suhaimi Razali, 2013)  Tambahan pula, beliau turut menjelaskan penyesalan bila terbaca akhbar harian yang terikut-ikut meletakkan kata-kata ini sebagai tajuk sesuatu berita meskipun hakikatnya penggunaan istilah tersebut sudah sebati di kalangan remaja negara kita. Sasaran utama perbincangan orang ramai tentang kekuatan pengaruh bahasa rojak jika dikaitkan dengan media massa adalah penglibatan orang ramai dalam khidmat SMS yang terpapar di skrin televisyen (Muhamad Suhaimi Razali, 2013)  Di sinilah kita dapat melihat pelbagai istilah baru diketengahkan kepada khalayak sehingga ada yang membawa masuk istilah ini ke dalam urusan rasmi. Muhamad Suhaimi Razali (2013) menyatakan yang Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai sikap orang kita yang gemar bercakap separuh belut separuh ular. Pencinta bahasa lain turut menyatakan rasa tidak puas hati kerana kualiti bahasa kebangsaan semakin merosot penggunaannya dan mereka membayangkan apa yang bakal terjadi sepuluh atau dua puluh tahun akan datang jika usaha menanganinya tidak dilakukan dari sekarang (Muhamad Suhaimi Razali, 2013). 

Kesimpulannya, sendiri berpendapat bahawa punca utama berlakunya penggunaan bahasa rojak adalah sikap kita sendiri yang mementingkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Kemasukan istilah asing yang dianggap lebih sesuai dan dapat mengangkat imej penuturnya terutama bagi masyarakat bandar memburukkan lagi keadaan. Pendek kata, Bahasa adalah maruah kepada bangsa itu sendiri dan jika tidak dijaga, ia tidak mungkin lagi dihormati, seterusnya membawa kepada jatuhnya maruah sesebuah bangsa.

Pendahuluan


Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan sendiri, iaitu Bahasa Malaysia.  Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada Bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16.  Sejak tahun 1955, Bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka.  Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152.  Krisis baharu yang melanda Bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini.  Faktor kedua berpunca daripada sikap orang melayu sendiri.  Hal ini demikian kerana orang melayu berkuasa telah meminggirkan Bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan.  Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan Bahasa Malaysia.  Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri.  Rata-rata ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam Bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan Bahasa Malaysia.  Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan Bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu.  Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Menteri Pelajaran Malaysia, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap Bahasa Malaysia.  Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian.  Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda disamping memupuk kecintaan terhadap Bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa kini.


Pemerkasaan Bahasa Malaysia di sekolah.  Sikap pelajar yang sering menganggap Bahasa Malaysia itu mudah kerana Bahasa Malaysia itu adalah bahasa pertuturan mereka seharian perlu dikikis sama sekali.  Semua pelajar dan guru harus meletakkan Bahasa Malaysia ditempat yang sewajarnya dalam segala hal di sekolah.  Lantaran itu, mereka harus membiasakan menggunakan Bahasa Malaysia yang betul, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran.  Amalan ini dapat memberikan kesedaran kepada mereka bahawa Bahasa Malaysia yang betul sahaja harus digunakan.  Cara ini dapat menanamkan semangat cinta kepada Bahasa Malaysia.